Kanser pada bahagian serviks (pangkal rahim yang bersambung dengan faraj) wanita. Kanser serviks adalah kanser yang ketiga paling lazim di kalangan wanita di Malaysia. Berita baiknya ialah kanser serviks memerlukan masa yang lama untuk berlaku dan ia juga merupakan salah satu jenis kanser yang paling mudah dicegah. 99% kes kanser serviks disebabkan oleh jangkitan jenis Human Papillomavirus (HPV) berisiko tinggi.
Jangkitan HPV adalah sangat umum sehingga kebanyakan orang yang aktif secara seksual akan dijangkiti pada suatu ketika dalam kehidupan mereka. Ini kerana HPV disebarkan melalui sentuhan kulit-ke-kulit bahagian kemaluan semasa melakukan seks.
HPV biasanya tidak mempunyai gejala/tanda. Selalunya, ia disingkirkan oleh sistem imun badan secara semulajadi.
Akan tetapi, beberapa jenis HPV (yang dikenali sebagai jenis HPV berisiko tinggi) boleh menyebabkan kanser serviks jika ia tidak disingkirkan oleh sistem imun badan.
Jangkitan HPV berisiko tinggi tidak bermakna anda akan mendapat kanser! Bagi kebanyakan wanita, jangkitan HPV berisiko tinggi akan disingkirkan sebelum ia menyebabkan sebarang masalah. Namun, kadangkala jangkitan akan berterusan untuk masa yang lama dan mungkin menyebabkan pertumbuhan sel yang tidak normal di serviks. Ia mengambil 10-15 tahun untuk jangkitan berterusan menjadi kanser, suatu proses yang sangat perlahan. Justeru itu, pengesanan awal dan rawatan terhadap sel-sel yang tidak normal boleh mencegah kanser serviks.
Kaedah saringan Pap smear konvensional menimbulkan beberapa cabaran yang boleh menghalang keberkesanan program saringan. Beberapa halangan termasuk:
Jika sampel ujian saringan serviks anda mengandungi Human Papilloma Virus (HPV), ini tidak bermakna anda mempunyai kanser serviks. Walau bagaimanapun, anda memerlukan pemeriksaan susulan bagi memastikan tiada perubahan sel yang berlaku di bahagian serviks. Prosedur yang akan dilakukan ialah kolposkopi.