Kanser Serviks & HPV

Di Malaysia, kanser serviks adalah antara kanser ketiga paling lazim di kalangan wanita. 

  • Kanser serviks adalah yang kedua paling lazim dalam usia produktif 15-44 tahun. 
  • 3 daripada 4 wanita dengan kanser serviks di Malaysia adalah di bawah usia 65 tahun. 
  • 99% kes kanser serviks diakibatkan oleh Human Papillomavirus (HPV) jenis risiko tinggi. 

Tiada gejala atau tanda apabila seseorang dijangkiti HPV, namun beberapa jenis HPV boleh menyebabkan kanser serviks jika ia tidak disingkarkan oleh sistem imun badan secara semulajadi.

Terdapat 14 jenis HPV yang menyebabkan 99% kes kanser serviks.

Jangkitan HPV berisiko tinggi tidak bermakna anda akan mendapat kanser!

Bagi kebanyakan wanita, jangkitan HPV berisiko tinggi akan disingkirkan sebelum ia menyebabkan sebarang masalah. Namun, kadangkala jangkitan akan berterusan untuk masa yang lama dan mungkin menyebabkan  pertumbuhan sel yang tidak normal di serviks. Ia mengambil 10-15 tahun untuk jangkitan berterusan menjadi kanser, suatu proses yang sangat perlahan. Justeru itu, pengesanan awal dan rawatan terhadap sel-sel yang tidak normal boleh mencegah kanser serviks.

Peringkat awal kanser serviks mungkin tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala. 

Tanda dan simptom kanser serviks yang umum adalah:

  • Pendarahan faraj selepas persetubuhan, antara haid atau selepas menopaus. 
  • Keputihan berair dan berdarah yang mungkin berat dan berbau busuk. 
  • Sakit pelvis atau sakit semasa persetubuhan. 

Jika anda mengalami tanda dan gejala ini, segera buat temujanji dengan pakar sakit puan anda untuk penilaian lanjut.Â